6 Topi Pemikiran

  1. Topi Putih        
Topi putih digunakan untuk mengumpul secara objektif segala maklumat yang berkaitan dengan apa yang sedang kita amati. Setiap pengguna topi putih tidak seharusnya memberi sebarang penilaian atau pendapat terhadap sesuatu maklumat.
Pendapat sendiri tidak akan dibenarkan sama sekali untuk dimasukkan sebagai maklumat yang hendak dikumpul atau menguatkan sesuatu pendapat. Hal ini amat bertentangan dengan pemikiran tradisional yang mana lebih cenderung kepada membuat keputusan terlebih dahulu dan hanya selepas itu sahaja barulah membuat jangkaan fakta-fakta untuk menyokong keputusan berkenaan.
Topi putih seringkali digunakan pada permulaan perbincangan untuk mencorakkan latar belakang sesuatu masalah. Ia juga boleh digunakan sekali lagi pada akhir perbincangan bagi memastikan sesuatu cadangan atau keputusan yang telah dibuat itu adalah berdasar kepada maklumat yang telah dikumpulkan.

  1. Topi kuning                 
Topi kuning digunakan untuk mencari nilai-nilai positif. Ia juga digunakan untuk berfikir secara logikal daripada perspektif yang positif dan konstruktif. Gaya pemikiran menggunakan topi kuning amat penting kerana ia dapat menggalakkan kita untuk mencari nilai-nilai positif sesuatu idea termasuk idea yang pada mulanya kelihatan tidak begitu menarik.
  1. Topi hitam                   
Topi hitam digunakan untuk menganalisis idea atau meneliti sesuatu cadangan secara logikal dari aspek undang-undang, keselamatan dan lain-lain agar kita lebih berhati-hati sebelum menerima sesuatu keputusan atau cadangan. Dalam erti kata lain kita melihat sesuatu keputusan itu dari sudut negatif. Negatif di sini bermaksud berhati-hati atau melindungi kepentingan sendiri. Ini penting kerana ia dapat menonjolkan kelemahan sesuatu keputusan yang akan diambil. Ia juga membenarkan kita untuk menyingkir, mengubah dan menyediakan pelan kecemasan untuk mengatasi sebarang kemungkinan.
Topi hitam juga dapat membantu kita menjadikan perancangan yang dibuat itu lebih kukuh dan fleksibel. Ia juga membantu kita dalam menjangkakan risiko-risiko yang mungkin berlaku sebelum membuat sebarang keputusan.

  1. Topi merah                                                      
Menggunakan topi merah kita akan melihat sesuatu masalah itu dengan menggunakan emosi atau intuisi sama ada secara positif atau negatif tanpa perlu menjelaskan sebabnya dan bukan digunakan untuk mengubah sesuatu perkara atau idea yang telah dibuat. Ia juga cuba untuk memahami macam mana orang lain akan bertindak dengan emosi.

  1. Topi hijau                    
Topi hijau pula mewakili kreativiti. Ia melambangkan tenaga pemikiran yang melihat sesuatu perkara dari perspektif yang baru dan juga mengeluarkan idea-idea yang kreatif dalam kaedah penyelesaian masalah.Topi hijau membantu kita untuk bergerak kehadapan dengan menjanakan idea-idea alternatif yang lebih baik berbanding idea asal. Ia juga digunakan untuk menyelesaikan atau memperbaiki masalah yang dilihat melalui topi hitam.
  1. Topi biru                                                                                                                                            Topi biru mewakili kawalan proses berfikir secara keseluruhannya ataupun dalam bahasa yang lebih mudah ia digunakan untuk mengawal kegunaan topi berfikir yang lain. Kebiasaannya, ia digunakan oleh pengerusi mesyuarat atau ketua perbincangan. Ia boleh digunakan pada awal perbincangan untuk menjelaskan perkara yang akan dibincangkan, menjelaskan tujuan sesuatu perbincangan dan merancang corak pemikiran yang akan digunakan dalam perbincangan tersebut. Pemikir yang memakai topi biru boleh bersuara semasa perbincangan sedang berlangsung untuk mengawal perbincangan agar tidak kelam kabut dan pengunaan topi lain adalah mengikut peraturan